Friday 22 August 2014

BAB 6: PEMBENTUKAN MALAYSIA

PENGENALAN

Malaysia yang wujud pada hari ini mempunyai sejarah pembentukan yang panjang lebar. Pada peringkat awal, ia dikenali sebagai Tanah Melayu atau Malaya. Setelah mencapai kemerdekaan, Parti Perikatan yang memerintah Tanah Melayu mendapati keadaan politik yang tidak tenteram di negara-negara jiran boleh memberi kesan kepada kemerdekaan Tanah Melayu. Justeru, Perdana Menteri Tanah Melayu yang pertama pada waktu itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah menyuarakan idea pembentukan Gagasan Malaysia yang melibatkan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Brunei.

HASIL PEMBELAJARAN

1.            Menyatakan dan menghuraikan faktor-faktor pembentukan Malaysia.
2.            Menjelaskan reaksi negara-negara jiran terhadap penubuhan Malaysia.
3.            Menerangkan proses-proses pembentukan Malaysia.
4.            Membincangkan sebab-sebab pemisahan Singapura daripada Malaysia.

6.1    FAKTOR-FAKTOR PEMBENTUKAN MALAYSIA

6.1.1   MENGELAKKAN ANCAMAN DAN PENGARUH KOMUNIS

Pengaruh komunis yang semakin meluas di Asia Tenggara, terutama Singapura membimbangkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Pengaruh komunis mula menyusup masuk ke dalam parti yang memerintah Singapura sejak tahun 1959, iaitu Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Lee Kuan Yew. Kegiatan dan pengaruh komunis semakin kuat apabila bekas anggota PAP berhaluan kiri menubuhkan Barisan Sosialis yang dipimpin oleh Lim Chin Siong. Kekalahan calon PAP dalam dua pilihanraya kecil

Pada tahun 1961 bagi kawasan Hong Lim dan Anson memperlihatkan pengaruh komunis semakin merebak di Singapura. Perkembangan ini membimbangkan Tunku Abdul Rahman kerana beliau khuatir Singapura akan dikuasai oleh pihak komunis dan keadaan ini boleh mengancam keselamatan Tanah Melayu. Oleh itu, Tunku berpendapat penubuhan Malaysia akan dapat menyekat pengaruh komunis daripada merebak di Singapura.[1]


6.1.2   MEMBERI KEMERDEKAAN KEPADA SABAH, SARAWAK, BRUNEI DAN SINGAPURA

Menerusi penubuhan Persekutuan Malaysia, negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura akan mendapat kemerdekaan lebih awal daripada yang dijangkakan. Ini memandangkan negara-negara berkenaan masih lagi berada di bawah penjajahan British semasa cadangan ini ditimbulkan. Dalam hal ini, Sabah dan Sarawak diletakkkan dalam status negeri jajahan, manakala Singapura dan Brunei diletakkan sebagai negeri naungan.

Dalam perancangan penubuhan Persekutuan Malaysia, Malaysia akan ditubuhkan dalam tempoh dua tahun. Tetapi jika Sabah dan Sarawak cuba mencapai kemerdekaan secara berasingan, besar kemungkinan kemerdekaan itu tidak akan tercapai biarpun dalam tempoh lima tahun ataupun sebaliknya. Jadi, dengan menyertai Malaysia, Kemerdekaan Sabah dan Sarawak boleh disegerakan.

Dalam tahun-tahun 1960-an, kerajaan British sebenarnya sedang dalam pertimbangan untuk memberi kemerdekaan kepada tanah-tanah jajahannya. Namun Sabah dan Sarawak merupakan wilayah jajahan British yang belum bersedia untuk merdeka apatah lagi untuk berdikari kerana suasana ekonomi dan politiknya yang kurang memuaskan. Tunku Abdul Rahman berpendapat kerajaan British tidak bercadang untuk memberi kemerdekaan kepada Sabah dan Sarawak walaupun dalam masa lima tahun. Oleh itu, Tunku percaya dengan membawa masuk Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia akan lebih memudahkan dan mempercepatkan kemerdekaan dua wilayah ini disamping dapat mengelakkan hasrat komunis untuk membentuk tampuk pemerintahannya.


Sekiranya kemerdekaan tidak diberikan kepada wilayah tersebut, pihak British khuatir wilayah tersebut akan dipengaruhi oleh komunis dan akan menyebabkan British akan hilang kepentingan ekonomi dan sosial pada masa yang akan datang. Disamping itu, terdapat juga pengaruh-pengaruh luar seperti Filipina dan Indonesia yang berminat terhadap negeri Sabah, Sarawak dan Brunei.


6.1.3   PERKONGSIAN FAEDAH EKONOMI

Melalui Persekutuan Malaysia, negara-negara anggota akan dapat mengadakan kerjasama ekonomi dan perdagangan untuk faedah bersama. Secara tidak langsung, negara-negara anggota yang kaya dengan sumber ekonomi boleh membantu negara-negara anggota yang miskin dan kekurangan sumber ekonomi sekaligus ia dapat meningkatkan pembangunan ekonomi, terutama di Sabah dan Sarawak yang masih belum maju dari segi ekonominya. Manakala Tanah Melayu, Singapura dan Brunei pula akan menjadi penyumbang kepada negara-negara berkenaan. Ini kerana Tanah Melayu kaya dengan sumber bahan mentah, Brunei pula kaya dengan sumber minyaknya. Manakala Singapura pula akan lebih selamat dari segi ekonomi sekiranya menyertai Persekutuan Malaysia.


6.1.4   MEMBELA MASYARAKAT BUMIPUTERA DI SABAH DAN SARAWAK.

Sebelum penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia, nasib penduduk di wilayah ini tidak sama dengan nasib penduduk di Semenanjung Tanah Melayu, terutama golongan Bumiputera. Kebanyakan jawatan dan kegiatan ekonomi di wilayah-wilayah tersebut dipegang oleh bangsa asing. Sebahagian besar penduduk pula terlibat dalam sektor pertanian dan penggunaan tanah untuk sistem penanaman tetap hanya pada kadar 3% sahaja. Jika kedua-dua wilayah tersebut digabungkan ke dalam Persekutuan Malaysia, Kemungkinan layanan istimewa akan diberikan kepada penduduk Bumiputera Sabah dan Sarawak adalah lebih besar. Malahan, kedudukan dan keistimewaan Bumiputera telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Sistem perhubungan di kedua-dua wilayah ini juga daif, infrastrukturnya masih bergantung pada sungai-sungai dan perjalanan udara. Adalah sukar untuk mewujudkan perhubungan darat secara besar-besaran. Selain itu, golongan Bumiputera di kedua-dua wilayah ini juga tidak mendapat layanan yang baik daripada kerajaan British manakala orang-orang luar yang datang ke wilayah ini diberi perhatian. Justeru, tahap pendidikan, penguasaan ekonomi, kadar celik huruf dan pengisian jawatan kerajaan lebih tinggi di kalangan orang luar. Kaum Bumiputera yang mempunyai pendidikan tinggi sangat sedikit dan faktor ini membataskan peluang mereka untuk menjawat sebarang jawatan dalam kerajaan.

6.1.5   MENJAGA KEPENTINGAN DAN HAK KAUM BUMIPUTERA

Menurut Tunku Abdul Rahman, gagasan pembentukan Malaysia perlu menggabungkan wilayah-wilayah Borneo seperti Sabah, Sarawak dan Brunei bukan hanya terhad kepada Tanah Melayu dan Singapura sahaja. Jika Tanah Melayu dan Singapura sahaja bercantum, ini akan menghilangkan majoriti penduduk Melayu. Ini kerana Singapura mempunyai 80% penduduk bukan Melayu dan apabila dicantumkan dengan penduduk Persekutuan Tanah Melayu, penduduk bukan Melayu akan menjadi golongan terbesar.

Apabila pencantuman berlaku antara Tanah Melayu dan Singapura sahaja, bilangan masyarakat Cina akan menjadi 43.5%, sementara orang Melayu menjadi 43%. Ini kerana anggaran penduduk Tanah Melayu pada tahun 1960, orang Melayu kira-kira 50% dan orang Cina 36.9%. Justeru, apabila penduduk Sabah dan Sarawak diambil kira, bilangan kaum Bumiputera termasuk Melayu akan menjadi 46.3%, sementara orang Cina menjadi 42.4%. Ini bermaksud untuk menjamin kedudukan orang Melayu dan Bumiputera tidak terancam, kemasukkan Sabah dan Sarawak membolehkan kumpulan Melayu dan Bumiputera kekal sebagai kumpulan terbesar.[2]


6.2    REAKSI NEGARA-NEGARA JIRAN

Terdapat tentangan yang perlu dihadapi dari 2 negara iaitu Filipina dan Indonesia. Filipina memprotes pembentukan Malaysia dan Indonesia pula cuba menghalang pembentukan Malaysia.


6.2.1    FILIPINA

Presiden Macapagal mendakwa Sabah adalah sebahagian daripada milik negaranya.Jadi, pembentukan Malaysia akan menyulitkan lagi tuntutan Filipina terhadap Sabah. Filipina terus membantah walaupun rakyat Sabah memilih untuk menyertai Malaysia. Filipina kemudianya memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.


6.2.2    INDONESIA

Presiden Sukarno mengumumkan dasar konfrantasinya pada 20 Januari 1963 dengan slogan ‘Ganyang Malaysia’.  Alasan Sukarno ialah kerana Tanah Melayu membelakangkan Indonesia semasa penubuhan Malaysia. Tindakan ini adalah kerana penubuhan Malaysia mengancam idea pembentukan empayar Indonesia  Raya. Ianya juga merupakan taktik mengalih perhatian rakyatnya daripada beberapa masalah dalaman.

Dasar konfrantasi Sukarno memuncak dengan penghantaran Tentera Indonesia sempadan Sabah dan Sarawak. Tentara Indonesia juga mendarat di pantai barat Johor untuk pengintipan. Tindakan ini dapat dibendung sehingga rancangan konfrantasi ini menjadi semakin lemah. Pada tahun 1965, Sukarno telah digulingkan oleh Jeneral Suharto. Menteri Luar Indonesia, Adam Malik membuat perjanjian damai bagi mengakhiri konfrantasi pada bulan ogos 1966.


6.3    PROSES PEMBENTUKAN MALAYSIA

Proses perbincangan dan perundingan kearah pembentukan Malaysia ini sebenarnya sangat panjang dan kompleks. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan dan diatasi sebelum cadangan ini dapat direalisasikan. Beberapa tindakan juga perlu diambil bagi memastikan pembentukanini memuaskan hati semua pihak.


6.3.1   JAWATANKUASA PERUNDINGAN PERPADUAN MALAYSIA (MSCC)

Pada bulan Julai 1961, satu mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel (PKK) cawangan Tanah Melayu dan Borneo telah diadakan di Singapura. Semasa mesyuarat ini, pemimpin-pemimpin Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura telah mengambil peluang ini untuk menjelaskan konsep Malaysia kepada perwakilan Sabah, Sarawak dan Brunei yang hadir ke mesyuarat tersebut.

Penerangan ini didapati telah mengurangkan salah faham, terutama di kalangan pemimpin tiga wilayah tersebut tentang penubuhan Malaysia. Kesan daripada persefahaman ini, mesyuarat telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia. Jawatankuasa ini dianggotai oleh wakil-wakil dari semua wilayah yang terlibat dalam pembentukan, sementara Donald Stephens dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut. Namun, perwakilan Brunei menganggap diri mereka hanya sebagai pemerhati kerana ketidaksediaaan Brunei menyertai gabungan.

Secara amnya, jawatankuasa ini berfungsi untuk menerangkan dengan lebih jelas akan konsep Malaysia kepada orang ramai, khususnya penduduk Sabah, Sarawak dan Brunei. Untuk tujuan ini, jawatankuasa akan mengumpul dan membandingkan idea-idea serta pendapat yang dikemukakan berhubung Malaysia. Keterangan-keterangan dan perbincangan akan dilaksanakan dengan lebih giat untuk menyegerakan rancangan pembentukan Malaysia ini. Selain itu, jawatankuasa juga seboleh mungkin berusaha mendapatkan kata sepakat daripada pemimpin-pemimpin politik di semua daerah terbabit. Semenjak  pembentukan jawatankuasa ini, mereka telah mengadakan perjumpaan sebanyak empat kali, iaitu pertamanya di Jesselton (Kota Kinabalu sekarang) pada 21 Ogos 1961, kedua di Kuching pada 18 Disember 1961, ketiga di Kuala Lumpur pada 6 Januari 1962 dan keempat di Singapura pada 1 Februari 1962.

Dalam perjumpaan-perjumpaan jawatankuasa dan usaha-usaha yang dilaksanakan, ramai tokoh dari Tanah Melayu dan Singapura seperti Tunku Abdul Rahman sendiri, Ismail Yusoff, Datu Ong Yoke Lim dan Lee Kuan Yew memainkan peranan yang sangat penting. Perjumpaan-perjumpaan yang mereka adakan dengan pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak telah mendatangkan hasil yang baik.


6.3.2   SURUHANJAYA COBBOLD

Suruhanjaya Penyiasat Borneo Utara atau Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan setelah satu rundingan dibuat antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan kerajaan British pada bulan November 1961. Suruhanjaya ini dilantik secara rasmi pada 16 Januari 1962. Suruhanjaya ini dipanggil Suruhanjaya Cobbold sempena nama ketuanya, iaitu Lord Cobbold seorang berbangsa Inggeris. Ahli-ahli suruhanjaya ini ialah Lord Cobbold, iaitu bekas Gabenor Bank England sebagai ketua, Anthony Abell dan David Waterson yang mewakili kerajaan British, sementara Dato’ Wong Pow Nee dan Tan Sri Mohd. Ghazali Shafie sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Kerajaan United Kingdom dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu bersetuju bahawa dengan memasukkan Borneo Utara dan Sarawak (bersama-sama dengan lain-lain negeri) ke dalam Persekutuan Malaysia yang dicadangkan itu, banyak faedah diperoleh rakyat Negara-negara yang berkenaan. Matlamat penubuhan Suruhanjaya Cobbold adalah untuk menyiasat fikiran rakyat Borneo Utara dan Sarawak berkenaan hal ini dan membuat  syor-syor setelah menimbangkan fikiran itu.

Suruhanjaya ini menjalankan tugasnya selama dua bulan bermula pada 19 Februari 1962 dan berakhir pada bulan April 1962. Dalam tempoh dua bulan tersebut, Suruhanjaya Cobbold telah mengadakan 50 perjumpaan di 35 buah tempat, iaitu 20 di Sarawak dan 15 di Sabah serta telah menemui lebih daripada 4000 orang yang mewakili kira-kira 690 buah kumpulan. Selain itu, suruhanjaya ini juga mempelawa dan menerima surat-surat atau memorandum daripada orang ramai untuk menyuarakan pandangan mereka. Semasa menjalankan tugasnya, suruhanjaya telah menerima lebih daripada 2000 (lebih kurang 600 pucuk surat dari Sabah dan selebihnya dari Sarawak ) memorandum yang dikemukakan sama ada oleh lembaga-lembaga bandaran, ketua-ketua kaum, Majlis Daerah, parti-parti politik, persatuan-persatuan, dewan-dewan perdagangan, pemimpin-pemimpin agama mahupun orang perseorangan. Daripada keseluruhan kerja atau tugas yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Cobbold ini, jelas mereka membuat tinjauan serta penyiasatan secara menyeluruh dan mewakili sebahagian besar penduduk di kedua-dua wilayah tersebut.

Suruhanjaya Cobbold menamatkan penyiasatannya pada 18 April 1962 dan kemudian mengemukakan sebuah laporan penyiasatan kepada kerajaan British kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada bulan Jun 1962. Menurut laporan suruhanjaya ini, lebih kurang 80% daripada penduduk Sabah dan Sarawak menyokong pembentukan ini dan sebahagian besar daripada mereka ialah kaum Bumiputera. Secara keseluruhan, bentuk sokongan masyarakat Sabah dan Sarawak terbahagi kepada tiga golongan iaitu:

a.            1/3 daripada dua buah negeri ini menyokong penuh penggabungan  tanpa syarat
b.            1/3 lagi turut menyokong, tetapi dengan syarat-syarat dan jaminan tertentu.
c.            1/3 lagi separuhnya mahukan kemerdekaan dahulu sebelum bergabung dan separuhnya yang menentang kerana mahu kekal dalam pemerintahan British. Bilangan yang menentang ini dicatatkan hanya lebih kurang 20% sahaja.


6.3.3   JAWATANKUASA ANTARA KERAJAAN

Selepas Suruhanjaya Cobbold membuat laporan yang agak memuaskan, tugas untuk merangka syarat-syarat Persekutuan secara terperinci telah dilakukan oleh sebuah jawatankuasa yang dipanggil Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK) yang diketuai oleh Lord Landsdowne yang bertindak sebagai Pengerusi, Tun Abdul Razak Hussein sebagai Timbalan Pengerusi, wakil-wakil kerajaan British dan wakil-wakil negeri Sarawak, Sabah dan Singapura.

Jawatankuasa ini telah membentuk satu perlembagaan khususnya yang melibatkan permintaan Sabah dan Sarawak berdasarkan memorandum yang diterima daripada parti-parti politik di Sabah dan Sarawak.

Laporan yang dibuat oleh jawatankuasa ini menggunakan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Laporan Suruhanjaya Cobbold serta cadangan yang dibuat oleh Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia sebagai asas. Perlembagaan yang dibentuk ini telah disahkan oleh kerajaan British pada 9 Julai 1963. Antara perkara yang menjadi teras utama dalam perlembagaan tersebut ialah :

a.            Agama Islam dijadikan agama rasmi bagi seluruh Persekutuan Malaysia, kecuali Sabah dan Sarawak.
b.            Bahasa Melayu telah dijadikan bahasa rasmi Persekutuan Malaysia, tetapi kelonggaran diberikan kepada Sabah dan Sarawak untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam perkara-perkara rasmi selama 10 tahun selepas kemasukan ke dalam Persekutuan.
c.            Kuasa kawalan imigresen di Sabah dan Sarawak akan diserahkan kepada kerajaan negeri masing-masing walaupun peruntukan tersebut di bawah kawalan kerajaan pusat. Ini adalah untuk memberi keyakinan kepada Sabah dan Sarawak bahawa tujuan Tanah Melayu bukanlah untuk menjajah negara tersebut.
d.            Sistem pendidikan masih dikekalkan sehingga Majlis Negeri membuat pindaan.
e.            Sabah diberikan 24 perwakilan Parlimen, manakala Sarawak 16 dan Singapura 15 buah kerusi.


6.3.4   REFERENDUM SINGAPURA

Jika peristiwa di Sabah dan Sarawak melibatkan penyiasatan oleh Suruhanjaya Cobbold, Singapura turut membuat satu pungutan suara yang dipanggil Referendum Singapura. Kerajaan Singapura membuat keputusan untuk mengadakan referendum sebagai satu cara meninjau pendapat penduduk Singapura untuk mendapatkan kepastian dan pendirian rakyat Singapura berhubung penubuhan Malaysia. Secara keseluruhan, pungutan suara ini bukan bertujuan untuk membenarkan rakyat Singapura menolak penubuhan Malaysia, tetapi menerima cadangan ini dengan pendirian mereka yang tertentu.

Kerajaan Singapura membuat keputusan ini kerana yakin sebahagian besar parti politik di Singapura menyokong cadangan Malaysia, cuma pandangan dan pendirian mereka juga perlu diambilkira. Soal menolak sudah tidak wujud, tetapi soal penubuhan perlu dibincangkan. Dalam pungutan suara ini, rakyat Singapura diberi tiga pilihan, iaitu :
a.            Pilihan A – rakyat bersetuju untuk bergabung dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu melalui Kertas Putih pada bulan November 1961 (secara keseluruhan, pilihan ini mendapat 397 626 undi).
b.            Pilihan B – rakyat bersetuju untuk bergabung tanpa syarat dan kedudukan Singapura akan menjadi seperti negeri-negeri Melayu lain di dalam Persekutuan Tanah Melayu (secara keseluruhan, pilihan ini mendapat 9442 undi).
c.            Pilihan C – rakyat bersetuju untuk bergabung dengan syarat dan faedah yang hampir sama seperti yang diperoleh wilayah-wilayah Borneo dengan penyertaan ini (secara keseluruhan, pilihan ini mendapat 144 077 undi).

Referendum Singapura ini telah diadakan pada 1 November 1962. Barisan Sosialis dan pihak komunis yang tidak bersetuju untuk bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu telah memulau pungutan suara dengan membuang undi kosong. Namun selepas referendum selesai, laporan menunjukkan 71% pengundi menyokong pembentukan Malaysia.

Penganalisis sejarah mendakwa sokongan Singapura ini adalah ekoran kejayaan kerajaan PAP meyakinkan rakyat berhubung tiada kemungkinan taraf kerakyatan mereka akan dilucutkan dengan penggabungan, perdagangan antarabangsa Singapura mungkin merosot jika mereka tidak bergabung dan ancaman komunis akan dapat dibendung dengan jayanya dengan pembentukan ini. Secara keseluruhannya, keputusan ini menunjukkan rakyat Singapura bersetuju untuk menyertai Malaysia dengan memilih syarat A, iaitu pilihan yang dicadangkan oleh kerajaan Singapura sendiri.[3]

6.4    PEMISAHAN SINGAPURA

Semenjak Singapura menyertai Malaysia, banyak perselisihan yang timbul antara kerajaan Singapura dengan kerajaan Persekutuan di Kuala Lumpur. Perselisihan ini menjadi semakin rumit dan melibatkan banyak isu yang tiada akhirnya. Malahan tidak mungkin untuk Singapura terus kekal dalam Malaysia tanpa suasana tegang yang boleh mencetuskan keganasan. Para pemimpin Malaysia, terutamanya Tunku Abdul Rahman berpendapat lebih wajar Singapura berpisah daripada Malaysia sebagai jalan keluar terbaik untuk mengatasi pelbagai krisis yang timbul, demi kepentingan perpaduan kaum, kestabilan ekonomi dan menghindarkan konflik politik yang berterusan. Akhirnya Singapura berpisah dari Malaysia pada Ogos 1965. 

6.4.1 FAKTOR YANG MENYEBABKAN PEMISAHAN SINGAPURA DARI MALAYSIA.

a.         Perlembagaan.

Kebanyakkan soal yang berkaitan dengan perlembagaan berkisar tentang isu ekonomi dan kewangan. Mengikut perjanjian Malaysia, Singapura diberi kuasa untuk memungut cukai kastam, cukai eksais dan cukai pendapatan. Selain beberapa kekecualian, semua hasil yang dikutip akan dibahagikan berasaskan 60% untuk Singapura dan baki 40% lagi untuk kerajaan Persekutuan. Oleh sebab beban cukai Singapura paling ringan dan bertambahnya perbelanjaan pertahanan, akibat konfrontasi, kerajaan Persekutuan bercadang mengkaji semula agihan hasil dan Singapura perlu menyerahkan  60% daripada jumlah hasilnya dan bukanya 40% seperti yang dipersetujui sebelumnya. Cadangan ini dibantah oleh Singapura kerana mengikut perjanjian Malaysia, terdapat satu persetujuan bahawa sehingga bulan Disember 1968, kerajaan Persekutuan perlu mendapat kebenaran kerajaan Singapura sebelum mengenakan cukai import yang baharu. Kebenaran itu boleh ditangguhkan, jika sesuatu jenis cukai itu boleh menjejaskan perdagangan bebas Singapura.

Pada bulan Disember 1964, apabila kerajaan Persekutuan membentangkan belanjawan bagi tahun 1965, terdapat pelbagai cukai baharu yang dikenakan. Kerajaan Singapura membantah pengenalan cukai-cukai baharu kerana mereka dikatakan tidak dibawa berunding terlebih dahulu. Pada akhir bulan Februari 1965, Menteri Kewangan, Tan Siew Sin mengarahkan para pengusaha di Singapura berunding dahulu dengan kerajaan Persekutuan tentang perlindungan tarif, sebelum membuka kilang. Arahan ini menimbulkan kemarahan para pengusaha di Singapura sehingga mendapat liputan media yang meluas.

           
b.         Persaingan Politik Antara PAP dan MCA

Keadaan ini dapat dilihat apabila pada 9 September 1963, Lee kuan Yew telah menyatakan bahawa kegiatan politik PAP hanya terbatas di Singapura dan PAP tidak bercadang untuk mengambil bahagian dalam pilihanraya di anah Melayu dalam tempoh lima tahun selepas penyatuan. Kemudianya, PAP mengubah keputusan itu dan bertanding dalam pilihanraya umum di Tanah Melayu pada tahun 1964. Pada masa tersebut Tunku Abdul Rahman menegaskan bahawa PAP tidak diperlukan di Tanah Melayu atas sifatnya sebagai sebuah parti perkauman Cina. Penglibatan PAP yang terlalu awal dalam kegiatan politik di Tanah Melayu juga menjejaskan perpaduan kaum, terutama hubungan UMNO dengan MCA. Malahan, PAP dikatakan berminat untuk mengantikan MCA bagi mewakili kaum Cina dalam Kerajaan Perikatan.

           
c.         Masalah Perkauman

Masalah perkauman ini dapat dilihat pada hubungan antara UMNO dengan PAP yang menjadi semakin renggang akibat beberapa peristiwa yang berlaku di Singapura. Setelah menyertai Malaysia, orang Melayu di negeri itu ‘berasa diri mereka diabaikan’ dan kerajaan Singapura tidak mengambil tindakan untuk membaiki kedudukan mereka. Oleh itu, beberapa buah pertubuhan yang mewakili orang Melayu menemui Tunku Abdul Rahman untuk melaporkan perkara itu. Keadaan menjadi semakin rumit selepas Setiausaha Agong UMNO, Syed Jaafar Albar menuduh pemimpin PAP, Lee Kuan Yew cuba memecahkan perpaduan masyarakat Melayu di Singapura. Kerajaan Singapura sering mengencam golongan yang disifatkan sebagai ‘pelampau’ dalam kerajaan Persekutuan, terutama Syed Jaafar Albar yang dituduh oleh para pemimpin PAP sebagai bertanggungjawab menyebabkan tercetusnya rusuhan kaum di Singapura pada bulan Julai dan September 1964.

Sikap para pemimpin politik di Singapura yang memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia juga kurang disenangi oleh para pemimpin UMNO. Konsep ini seolah-olah mengenepikan institusi dan mencabar kedudukan istimewa orang Melayu. Pada bulan Mei 1965, Lee Kuan Yew menubuhkan Malaysian Solidarity Convention sebagai satu pakatan dikalangan parti pembankang dengan slogan A democratic Malaysian Malaysia untuk menandingi parti Perikatan. Beliau menyeru diwujudkan satu ‘persamaan hak bagi semua” melalui satu ideologi politik, sosial dan ekonomi yang sama untuk semua kaum.

Kedudukan negeri-negeri di Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia  juga ditimbulkan oleh para pemimpin Singapura. Mereka menggalakkan negeri-negeri itu menimbulkan soal perbezaan taraf ekonomi dan prinsip-prinsip perlembagaan yang telah dipersetujui sehingga sesetengah pemimpin di Sarawak, Sabah dan negeri-negeri lain bertindak balas. Memandangkan sebahagian besar pihak pembangkang terdiri daripada bukan Melayu, keadaan ini seolah-olah mencerminkan penentangan mereka terhadap orang Melayu yang menguasai kerajaan. Keadaan yang berlaku bukan lagi berbentuk pertikaian antara PAP dengan UMNO, tetapi lebih menjurus rebutan kuasa politik antara kaum Melayu dengan bukan Melayu


d.         Perbezaan Pendekatan Parti Perikatan Dan PAP

PAP berhasrat untuk mewujudkan masyarakat ‘bukan perkauman’ secara serta-merta dan berpendapat konflik timbul akibat wujudnya dua bentuk masyarakat yang berlainan. PAP berminat untuk berdebat secara terbuka dalam hampir semua isu politik dan melaksanakan dasar-dasar baharu dengan segera. Parti Perikatan terutama UMNO merupakan parti yang dibentuk dengan struktur perkauman berdasarkan masyarakat majmuk yang sedia wujud di Malaysia. Parti Perikatan berpendapat perbincangan secara terbuka tentang perbezaan kaum boleh mencetuskan ketegangan dan kekacauan. Perbezaan pendekatan dalam menghadapi isu-isu perkauman ini mencetuskan pergeseran antara Parti Perikatan dengan PAP.
       
Kesimpulan

Hubungan yang tegang antara Singapura dengan Kerajaan Persekutuan akhirnya tiba dikemuncaknya menjelang Mei 1965 sehingga menimbulkan kebimbangan Tunku Abdul Rahman yang berpendapat Singapura perlu disingkirkan dari Malaysia. Pada 9 Ogos 1965, Tunku Abdul Rahman membuat pengumuman rasmi di Parlimen dan membentangkan rang undang-undang pemisahan Singapura. Rang undang-undang tersebut diluluskan dan tiada yang menentang atau berkecuali dan keputusan itu diambil tanpa dihadiri oleh perwakilan Singapura. Pemisahan ini menamatkan pertikaian politik yang berlarutan antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Singapura. Pertikaian itu jika dibiarkan berterusan boleh memburukkan lagi keadaan sehingga mencetuskan rusuhan kaum dan pertumpahan darah. Setelah pemisahan Singapura, Malaysia hanya terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. [4]
  
RUJUKAN


1.            Ruslan Zainudin et. al.(2005), Kenegaraan Malaysia, Fajar Bakti Sdn. Bhd.

2.            Mardiana Nordin & Hasnah Hussiin (2004), Pengajian Malaysia, Fajar Bakti Sdn. Bhd..






[1] Ruslan Zainudin et. al.(2005), Kenegaraan Malaysia, Fajar Bakti Sdn. Bhd., hal 165.

[2] Mardiana Nordin, Hasnah Hussiin, Pengajian Malaysia, Fajar Bakti Sdn. Bhd., 2004, hal 65-67.
[3] Mardiana Nordin, Hasnah Hussiin, Pengajian Malaysia,  Fajar Bakti Sdn. Bhd. , 2004, hal 71-74

[4] Ruslan Zainuddin et.al. (2005), Kenegaraan Malaysia, Fajar Bakti Sdn. Bhd., hal. 174-176.

8 comments:

  1. tq for this info

    ReplyDelete
  2. saya tidak tahu negeri manakah yang tidak terlibat dengan penbentukkan malaysia tolong bloeh bagi jawapan tolong lah saya merayu kepada semua yang memebaca

    ReplyDelete
  3. Sabah dibohongi n ditipu sejak 1963 hingga kini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. maksud nya apa????sabah di bohongi apa???tk fhm cuba awk explain😅

      Delete
  4. Bagi lima wilayah yang ingin digabungkan melalui idea pembentukan Malaysia selain Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura. Yang 1 lagi apa ? Bagi info please🙏🙏

    ReplyDelete